Sejak tahun 2003 lagi saya azam nak bebas daripada segala hutang. Masa tu, kami terbeban dengan 5 hutang iaitu PTPTN saya, PTPTN isteri saya, Study Loan Yayasan Johor saya, Computer Loan, dan Car Loan. Lepas berhempas pulas selama 4 tahun, alhamdulillah, 4 Januari 2007 kami bebas dari segala hutang! Sejak hari tu, tak ada lagi hutang berbaki walaupun satu sen. Dan kami suami isteri kekal sebagai orang yang bebas hutang hingga ke saat saya menulis artikel ni.
Ada juga kawan yang mintak saya kongsikan cara untuk bebas hutang, tapi saya bukanlah orang layak untuk ajar cara bebas hutang. Cuma sekadar berkongsi tu, insyaAllah. Langkah pertama, saya boleh cadangkan sahabat semua baca buku Petunjuk Jalan Kekayaan, tulisan Chef Li. Buku tu banyak bagi motivasi dan membuatkan saya insaf untuk jauhkan diri dari hutang. Lepas menyelami betapa susah hatinya Chef Li masa dikelilingi hutang, saya sendiri pun rasa fobia dengan hutang.
4 Prinsip Asas Kewangan Peribadi
Bila dah betul-betul ada kesedaran dan semangat bebas dari segala hutang, mungkin sahabat semua boleh pakai PRINSIP KEWANGAN yang saya amalkan ni.
Prinsip #1: Beli secara tunai.
Henti dan jauhkan segala urusniaga yang dinamakan ansuran, installment, beli dulu bayar kemudian, skim bayaran mudah dsb. Kalau terpaksa berhutang, itu maksudnya kita belum mampu beli barang tu lagi. So, simpan dulu duit sampai cukup, baru beli.
Prinsip #2: Hidup di bawah kemampuan, bukan ikut kemampuan.
Beli ikut keperluan, bukan ikut kemampuan, apatah lagi ikut kemahuan. Kalau mampu pakai kereta Proton Inspira, pakai Proton Saga jer lah dulu. Lupakanlah dulu perkataan “bergaya” dalam hidup tu buat sementara waktu sampai kita benar-benar mampu untuk bergaya. Biar tak bergaya, asalkan poket kita kaya.
Kalau ada barang yang bukan keperluan di rumah, lebih baik jual. Downgrade life style buat sementara waktu. Kalau sekarang ni subcribe Astro full channel, apa kata kurangkan channel-channel tu atau terus hentikan langganan Astro! Kalau sekarang pakai kereta besar, down grade kepada kereta yang cukup untuk keperluan jer. Kalau sekarang suka beli makan di luar, apa kata masak di rumah jer atau bawa bekal jer ke pejabat. Pointnya, hidup di bawah kemampuan.
Prinsip #3: Mulakan tabiat menyimpan walaupun sedikit.
Sikit tak apa, asalkan simpan. Saya dulu pun mula menyimpan RM20 jer sebulan. Buat potongan gaji ke akaun Tabung Haji (bukan tunggu duit lebih hujung bulan). Setiap kali naik gaji, saya akan tambah potongan gaji ke Tabung Haji. Kalau tak mampu simpan RM20 sebulan, simpan la RM2 sehari, masuk dalam tabung khas. Nanti hujung bulan masukkan RM2 sehari (RM60 sebulan) tu ke akaun bank. Yang penting mesti menyimpan.
Prinsip #4: Bina pendapatan kedua.
Libatkan diri dalam bisnes, tapi bukan skim-skim ‘bisnes’. Anggap gaji tu sebagai duit untuk hidup bulan-bulan, dan bisnes sebagai sumber untuk tambahkan simpanan. Simpan hasil bisnes 100%. Kalau nak guna pun, jangan lebih 50%! Duit hasil bisnes memang terbukti mempercepatkan kami bebas dari hutang, alhamdulillah.
Second income penting sebagai ‘backup’ income utama, dan untuk tambahkan simpanan. Azizi Ali, Pakar Kewangan Peribadi sarankan setiap orang perlu ada second income.
Itu jer lah rahsianya. Cari sampai hujung dunia sekalipun, inilah rahsianya. Beza antara orang berjaya dengan orang biasa-biasa ialah mereka TAKE ACTION!
Orang Bujang, Suami Isteri Bekerja, Lagi La Mudah
Kalau orang macam saya boleh menyimpan dan bebas dari segala hutang, saya rasa orang bujang sepatutnya lagi senang nak bebas hutang. Betul tak? Susu pampers anak-anak tak kena beli, duit hantar anak sekolah pun tak ada, pakaian anak-anak yang mahal-mahal tu pun tak perlu risau. Cuma fikir diri sendiri dan kebajikan mak ayah jer…
Kalau orang macam saya yang isteri tak bekerja pun boleh, orang yang dua-dua suami isteri bekerja sepatutnya lagi lah mudah untuk bebas hutang! Betul tak? Hidup ni satu pilihan…
Ok, sampailah masanya untuk saya dedahkan strategi yang saya pakai untuk bebas hutang dalam masa 4 tahun.
7 Strategi Bebas Hutang Dalam Masa 4 Tahun
Ini prinsip-prinsip yang saya gunakan untuk langsaikan semua hutang dalam masa singkat:
Strategi #1: Jangan buat hutang lagi.
Selagi boleh hidup tanpa hutang tu, jangan sekali-kali berhutang. Beli apa sahaja secara tunai. Kalau terpaksa berhutang, itu bermaksud kita belum mampu. So, kumpul duit dulu. Bila dah cukup baru beli. Banyakkan bersabar, bersabar, bersabar.
Strategi #2: Langsaikan hutang yang interest ratenya paling tinggi dulu.
Contohnya, hutang kad kredit (18% setahun) kena settlekan dulu sebelum car loan (3% – 5% setahun). So, cuba list down semua hutang-hutang yang ada mengikut interest ratenya. Interest rate paling tinggi tu kena settlekan dulu.
Hutang ‘berkat’ seperti housing loan perlu disettlekan paling last sekali sebabnya ia dikategorikan sebagai “good debt” iaitu hutang yang membuatkan kita bertambah kaya! Baca artikel “Hutang Berkat, Hutang Mudarat” untuk fahami topik ni.
Strategi #3: Buka Dana “Full-settlement Hutang”.
Buka akaun khas di bank untuk simpan duit yang akan digunakan untuk full-settlement hutang-hutang yang ada. Bayar ansuran pinjaman macam biasa, dalam masa sama kumpul duit lain ke dalam dana tersebut. Bila duit tu dah cukup, buat full-settlement terus. Dengan full-settlement, kita jimat dari bayar interest berbanding dengan tambah nilai ansuran bulan-bulan. Full-settlement maksudnya kita bayar nilai “pokok” jer, ansuran bulan-bulan maksudnya kita bayar nilai “pokok” + “interest”!
Antara sebab saya suka settlekan semua hutang jauh lebih awal dari tempoh sepatutnya ialah nak kurangkan bayar interest. Tak bazirkan duit bayar interest!
Strategi #4: Gunakan duit ‘durian runtuh’ seperti bonus tahunan untuk langsaikan hutang dulu.
Dalam tempoh 4 tahun tu, saya gunakan sebahagian besar duit bonus untuk bayar hutang! Memang tak merasa sangat duit bonus masa tu. Kena mujahadah la sikit.
Strategi #5: Simpan duit kenaikan gaji tahunan 100% ke dalam Dana Full-settlement Hutang.
Jangan gatal tangan usik dana tu! Setiap kali kenaikan gaji, saya akan kira berapa kenaikan kos sara hidup untuk setahun akan datang. Contohnya, gaji naik RM200, kos sara hidup bertambah RM120 sebulan sebab seorang lagi anak masuk sekolah. So saya masukkan lebihan RM80 (RM200 – RM120) sebulan ke dalam Dana Full-settlement Hutang.
Strategi #6: Bila dah settle satu hutang, simpan duit installment bulan-bulan seterusnya ke dalam Dana Full-settlement Hutang.
Contohnya, bila dah buat full-settlement car loan yang installmentnya RM600 sebulan, simpanlah RM600 tu masuk ke Dana Full-settlement Hutang tadi. Jangan sekali-kali anggap duit tu sebagai ‘kenaikan gaji’, apatah lagi untuk tukar kereta baru!
Strategi #7: Bayar hutang secara automatik!
Buat potongan gaji atau standing instruction di bank supaya kita tak lupa bayar. Bila terlupa bayar, itu yang jadi tertunggak tu.
Nota Jutawan Nota Kewangan Irfan Khairi
Tip terakhir, baca banyak buku-buku kewangan. Buku seperti “Jutawan Dari Planet Jupiter” (Azizi Ali), “Nota Jutawan, Nota Kewangan” (Irfan Khairi) tu wajib baca. Mana-mana buku yang saya baca, mereka akan cakap benda dan tip yang sama dengan apa yang saya kongsikan ni. Bezanya cuma samada kita AMAL ataupun tidak. Itu jer.
Moga tips ringkas ni dapat bantu sahabat semua untuk jadi G.O.O.D person. Iaitu “Get Out Of Debt” kata rakan saya, David Lee (Certified Financial Planner)…
Wallahu a’lam.
Zulkifli
11 Julai 2011
10 Sya’ban 1432
Damansara Damai
shared via Islam Agama Ku
Lemang daun lerek